BRADENTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ibu kepada lima orang anak, Adele Edwards didapati mengalami sejenis gangguan pelik yang dikenali sebagai Pica kerana dia gemar memakan kusyen sofa.
Pica merupakan gangguan yang sering dialami oleh kanak-kanak dan ibu  mengandung yang kekurangan nutrien tertentu. Ia boleh menyebabkan mereka  suka memakan benda-benda seperti kapur tulis, duit syiling, bateri dan  tanah. 
Dia yang berasal dari Bradenton, Florida Amerika Syarikat (AS)  dikatakan telah memakan kusyen selama 21 tahun. Adele dilihat cuba  mendapatkan bantuan selepas masalahnya itu sudah tidak dapat dikawal. 
"Sejak beberapa tahun lalu, saya sudah makan tujuh sofa. Saya membuka zip alas kusyen dan memakannya. Apabila sudah makan, saya sukar untuk berhenti. Kini, doktor memberitahu jika saya meneruskannya, ketagihan ini akan membunuh saya," katanya.
Adele mengakui tabiat peliknya itu berlaku kerana tertekan sewaktu  ibu bapanya mahu bercerai ketika dia baru berusia 10 tahun. Kini, dia  memakan kusyen sebanyak 15 kali sehari. Adele terpaksa mendapatkan  rawatan terapi dan hipnosis demi menghilangkan ketagihan luar biasa itu.  - Agensi



