GAMBAR yang disiarkan Jabatan Polis  Sterling Heights menunjukkan empat nenek yang mungkin menjadi penyeluk  saku paling dikehendaki di Michigan
DETROIT, Amerika Syarikat (AS) - Polis memburu sekumpulan wanita yang  memakai topi mencuri kad kredit dan wang tunai yang dianggarkan  berjumlah hampir AS$500,000 (RM1.49 juta) di Michigan, lapor sebuah  akhbar semalam. 
Kumpulan yang terdiri daripada wanita yang digelar nenek itu mencuri  dompet dan beg duit mengandungi kad kredit yang kemudian digunakan untuk  membiayai kos membeli-belah mereka.
Menurut polis, wanita itu melakukan perbuatan tersebut sejak hampir setahun lalu.
Seramai enam wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti itu.
Menurut seorang pegawai polis, Leftenan Luke Riley kepada akhbar Detroit Free Press, wanita tersebut berusia pertengahan umur.
Rakaman kamera keselamatan merakamkan beberapa gambar wanita itu yang  ada di antara mereka memakai topi berwarna biru, hitam dan putih. -  Agensi


