|   | 
|   IMEJ YouTube pada Jumaat  lalu menunjukkan tiga buah cahaya ganjil berbentuk seperti bola (dalam  bulatan) bergerak di langit di bandar raya London.   | 
LONDON - Satu rakaman video yang dirakamkan oleh seorang penduduk  menunjukkan beberapa cahaya ganjil berbentuk bulat bergerak dengan laju  di langit bandar raya London.
Imej itu menunjukkan cahaya tersebut bergerak di atas bangunan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London Barat.
Rakaman itu boleh dilihat di laman YouTube yang menunjukkan seorang  lelaki sedang merakamkan cahaya ganjil tersebut menerusi telefon bimbit  berkamera.
Dalam rakaman itu terdapat lima cahaya ganjil yang kecil bergerak  dengan laju yang dilihat oleh beberapa orang di tepi bangunan di bandar  raya ini.
Rakaman tersebut juga menunjukkan satu cahaya yang tidak dikenali  berbentuk sfera yang lebih besar bergerak dengan perlahan dekat dengan  lima cahaya kecil itu. 
Menurut sebuah akhbar semalam, rakaman itu hanya dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat lalu.
Berdasarkan tarikh yang dimuat naik di YouTube, kejadian tersebut  mungkin berlaku pada 3 Jun, 10 Jun atau 17 Jun lalu kerana masa lebih  seminggu diperlukan oleh laman itu untuk melakukan proses penyiaran  selepas rakaman video tersebut dihantar. - Agensi



