
 
Nyam,nyam. Sejak PT masyuk ni . Mak ai bukan main nak beli macam-macam. hehe. Tapi nak guna tu kena berpada-pada dulu lah. Kang, tak pasal aku kebulur kat sini. Hee~ Ok, baru je petang tadi aku pergi makan & beli buah dengan housemate aku. Ops, sini aku tak de skandal-skandal kay. Insaf2. Hukhuk.. Berbalik pada cerita yang aku nak sampaikan ni, buah delima memang aku suka sejak aku kecil. Cuma tempat aku , aku jarang beli. So, bila dah musim, masa ni lah aku nak try makan balik. Memang banyak khasiat kalau makan buah dari syurga ni. Selain delima, kurma juga salah satu buah dari syurga tau. Buah delima memang mahal. 3biji RM5...Tapi sekali sekala nak makan, apa salahnya. Kan? :)
Rahsia Penciptaan Buah Delima
 Di dalam al Quran, terakam indah firman Allah yang bermaksud, " Di dalam  kedua- duanya (syurga) juga terdapat buah- buahan serta pohon kurma dan  delima". [Surah al Rahman ayat 68]. Allah menyebut buah delima (rumman)  sebanyak 3 kali di dalam ayatNya untuk menunjukkan betapa hebatnya  penciptaan Allah itu dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga.  Mengapa begitu sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai  anugerah kepada makhlukNya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik  sebiji buah delima?
Jika ditinjau, delima yang berasal dari negara Iran dikenali sebagai  Pinica granatum dalam istilah botani juga didapati di India, Afghanistan  dan Syria. Pada zaman Nabi Musa as lagi, buah delima yang bermutu sudah  ditanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan  bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah. Manakala dalam agama  Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan  yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang  berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima  menjadi satu simbol kesuburan, rezeki yang melimpah ruah, keturunan yang  ramai dan masa depan yang diberkati. Namun, dalam Islam, buah delima  merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan  Allah sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang  menunjukkan tanda- tanda kekuasaanNya sebagaimana yang termaktub dalam  firmanNya di dalam surah al An'am ayat 99 dan ayat 141.
Al Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima  sebagai tanda kehebatan Allah di mana ia terbentuk seperti kantung-  kantung kecil yang segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian  atasnya tipisyang kelihatan seperti bukit.Kemasan yang tersusun rapi  biji buah tersebut seakan disusun oleh manusia serta dibalut dengan  kulit yang tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan  kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut. Hikmah penciptaan  buah delima dengan percaturan yang sebegitu rupa mempunyai nilai  kehebatan tersendiri. Seandainya ia tidak dilapisi dengan lapisan yang  halus itu, sudah tentu sari makanan tidak dapat sampai kepada biji buah  delima tersebut. Dengan mendapat sari makanan itulah, buah delima  mempunyai rasa manis tetapi akarnya sendiri mempunyai rasa yang amat  pahit.. Lapisan yang membahagi ruang biji buah delima berfungsi untuk  memelihara buahnya dan seluruh biji buah tersebut dilitupi dengan kulit  yang keras tetapi rasanya agak pahit adalah untuk menjaganya bebas  daripada segala hama. Sorotan tentang kejadian ini menunjukkan kepada  kita betapa setiap kejadian yang Allah ciptakan mempunyai keistimewaan  tersendiri.
Dari sudut pemakanan, buah delima amat kaya dengan sodium dan  mengandungi unsur- unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin,  vitamin C, kalsium dan fosforus. Manakala zat protein dan lemak hanyalah  sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai nilai  pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam  mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah- buahan.
Ternyata buah delima mempunyai banyak manfaat untuk manusia sama ada  sebagai buah- buahan mahupun dijadikan sebagai ubat penawar. Menurut Ibn  Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh sebab  itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru- paru  keranaia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nami Muhammad  SAW daripada Ali dan Abu Nu'aim yang bermaksud: "Buah delima dan  kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman". Jus buah delima  dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan dan ia  dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan dan akan  mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Oleh sebab itu  buah delima tidak disarankan kepada mereka yang menghidap demam. Ia juga  bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit birit, anemia, tekanan  darah tinggi dan atritis. Di samping itu, buah delima dapat menguatkan  jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot. Oleh kerana itulah, ia  mampu menghilangkan rasa keletihan. Di dalam perubatan homeopati pula,  buah delima disarankan untuk mengubat cirit birit, sakit telinga dan  kurang lawas penghadaman.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bukti yang menyatakan bahagian  pokok delima banyak kegunaan dan faedahnya. Dan ini telah diakui dalam  perubatan melayu seperti ramuan jamu daripada pokok delima sebagai ubat  cacing. Ramuan ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh masyarakat  tradisional melayu. Cuma yang mungkin, ilmu perubatan Melayu tradisional  ini tidak terus diamalkan dan tidak langsung sampai kepada generasi  baru sekarang dan ia seolah- olah dibiarkan begitu sahaja. Bahagian  kulit buah delima pula mengandungi sejenis alkaloid yang boleh mengawal  beberapa cenis cacing seperti cacing pita yang mendiami perut manusia.  Rasanya yang pahit tidak sesuai untuk dimakan tidak seperti bijinya yang  manis, tetapi manfaat daripada rasa pahit tersebut ialah dapat  menghapuskan cacing pita dalam perut manusia. Kulitnya yang tebal pula  bertanggungjawab melindungi buah delima supaya dapat disimpan dengan  mutu yang baik. Jika diselusuri faedah dan kepentingan kulit serta  batang buah delima, ia dapat digunakan untuk melembut dan menguningkan  kulit lembu dan kambing dalam industri barangan kulit di Morocco dan  Syria. Ini kerana kulitnya mengandungi punicotannic acid yang agak  tinggi iaitu sebanyak 22%. Manakala bunga buah delima pula mempunyai  nilai yang amat tinggi dalam tujuan perubatan kerana ia dapat mengubati  pelbagai jenis penyakit.
Justeru, kemanfaatan buah delima tidak dapat disangkal lagi kerana ia  bukanlah hanya sekadar sebiji buah yang mengandungi banyak khasiat untuk  dimakan tetapi keseluruhan penciptaan pokok buah delima memberi manfaat  kepada umat manusia. Sekaligus ia menggambarkan kepada kita, betapa  hebatnya kuasa Allah. Renungkanlah dan perhatikanlah, bagaimana dahan  tempat buah delima tergantung yang diciptakanNya dengan rapi dan kuat  serta tidak gugur buahnya sebelum sampai waktunya. Ini menunjukkan  betapa setiap kejadian yang Allah cipta mempunyai rahsia dan  keistimewaan tersendiri agar manusia mendapat manfaat dan menilai  kurniaan tersebut.