Angel Wing Heart

26 May 2011

Hotel pokok di Sweden ! WOW


SEBUAH kontena yang dijadikan hotel diletakkan di celah-celah pokok dekat bandar Harads, Sweden.


STOCKHOLM - Hotel pokok untuk dihuni oleh orang ramai terdapat di sebuah kawasan hutan dekat bandar Harads, Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.

Bilik-bilik hotel itu diletakkan pada ketinggian beberapa meter di celah-celah beberapa pokok dan diberi pelbagai nama seperti The Bird's Nest dan The Blue Cone.

Katil dan pelbagai kemudahan lain disediakan dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik hotel termasuk tingkap kaca yang besar bagi membolehkan penghuni melihat pemandangan indah hutan.

"Idea hotel itu ialah untuk mencipta sesuatu yang selesa, hotel yang membolehkan orang ramai tinggal dengan harmoni bersama alam semula jadi di atas pokok," kata pencipta hotel tersebut, Kent Lindwall.
Dia mencipta hotel itu bersama dengan isterinya, Britta Jonsson Lindvall pada tahun lalu.
"Setiap bilik direka supaya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan kebanyakan bilik mempunyai dua katil, tempat duduk tetapi tiada televisyen," tambahnya.

Menurutnya, tangga kayu dan tali disediakan bagi membolehkan orang ramai menaiki hotel itu.
Hotel itu dicat dengan bahan yang membolehkan burung melihatnya pada waktu malam bagi mengelak ia dilanggar.

Kadar menginap untuk satu malam di hotel itu ialah AS$633.18 (RM1,937). - Agensi

Bapa beli sekolah RM4.98 juta demi anak !


MATT HILL bergambar bersama anak perempuannya di Sekolah Mill di Potterne, Britain baru-baru ini.


POTTERNE, BRITAIN - Seorang bapa, Matt Hill membeli sebuah sekolah swasta di Potterne, Wiltshire pada harga £1 juta (RM4.98 juta) bagi mengelak ia ditutup kerana anak perempuannya bersekolah di sekolah itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Hill, 38, membeli Sekolah Mill itu dengan seorang rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley dan kedua-duanya berasa gembira kerana tawaran pembelian mereka diterima oleh pihak pengurusan sekolah tersebut. 

Pemilik sekolah itu sebelum ia dijual, John Rendell mengumumkan pada 9 Mei lalu bahawa sekolah berkenaan akan ditutup pada Julai depan selepas 18 tahun beroperasi.

Sejumlah ibu bapa mula membincangkan usaha untuk memastikan sekolah itu dibuka tetapi usaha untuk membelinya ketika itu dianggap mustahil.

Namun, Hill dan rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley menemui Rendell dan membuat tawaran sebanyak £1 juta untuk membelinya.

Sekolah itu menyediakan pembelajaran untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun.
Hill memberi jaminan bahawa semua kakitangan dan 65 pelajar akan terus kekal berada di sekolah itu. - Agensi
 

Copyright 2016 © Syazwani Mazlan. Design by Ayu Barbydol