TENGKORAK wanita yang dipercayai Mona Lisa ditemui di kubur bawah tanah di biara St. Ursula, Florence baru-baru ini. 
FLORENCE, Itali - Para arkeologi menemui satu tengkorak wanita yang  dipercayai menjadi model untuk pelukis terkenal, Leonardo da Vinci  melukis potret Mona Lisa, lapor sebuah akhbar semalam.
Tengkorak dan tulang wanita itu ditemui semasa mereka menggali kubur  bawah tanah di biara St. Ursula, Florence yang dipercayai milik seorang  wanita yang menjadi model pelukis tersebut melukis potret Mona Lisa.
Pasukan penggalian mendedahkan pada minggu lalu bahawa mereka menemui  bilik kawasan rahsia selepas dua minggu melakukan kerja-kerja mencari  di biara St. Ursula yang telah tidak digunakan lagi. 
Kubur itu dipercayai milik Lisa Gherardini Del Giocondo.
Wanita itu yang merupakan isteri seorang saudagar sutera yang kaya mati pada 1542.
Di Itali, Mona Lisa dikenali sebagai La Gioconda.
Beberapa pegawai berkata, tengkorak itu ditemui 1.52 meter di bawah  lantai sebuah biara bersama tulang rusuk dan tulang belakang selepas  kerja-kerja menggali dilakukan.
KUMPULAN wartawan dibawa melawat ke kawasan penggalian kubur seorang wanita 
dipercayai Mona Lisa di biara St. Ursula, Florence, Itali kelmarin.
Kini para saintis akan menguji asid deosirikbonukleik (DNA) tulang  itu dengan tulang dua kanak-kanak yang ditanam dekat kubur tersebut.
Jika saintis dapat mengesahkan tengkorak itu milik model tersebut,  artis forensik akan cuba membina semula muka wanita berkenaan untuk  dibandingkan dengan lukisan berusia 500 tahun yang dilukis oleh da  Vinci.
Penemuan itu diharap dapat menyelesaikan misteri identiti wanita yang  menjadi model untuk da Vinci melukis potret Mona Lisa. - Agensi


