KLUANG - Tiga pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di  sini semalam atas dua pertuduhan menjual kopi yang mengandungi Asid  Deoksiribonukliek (DNA) babi di kopitiam Kluang Rail Coffee di sini  tanpa mempamerkan kewujudan elemen haiwan berkenaan pada bungkusan  serbuk minuman itu Mac lalu. Tertuduh yang merupakan pengarah syarikat  Rail Passion Sdn. Bhd., Lim Jit Chiang, 37; Lim Jit Tong, 42; dan Lim  Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menjual serbuk kopi  tersebut di antara pukul 3 dan 4 petang di Jalan Tasik di sini pada 25  Mac lalu.
Mereka didakwa menjual serbuk kopi itu kepada pihak berkuasa yang  menyamar sebagai pelanggan. Keputusan analisis terhadap serbuk kopi yang  dilakukan di Jabatan Kimia, Petaling Jaya menunjukkan terdapat DNA babi  dalam kopi itu seperti yang didakwa. Bagi pertuduhan lain, tertuduh  didakwa menjual 20 paket kopi uncang dalam bungkusan yang mengandungi  DNA babi di lokasi dan hari yang sama.


