|   | 
|   BEBERAPA anggota polis  memeriksa bumbung flat di Blok 686B,Woodlands Drive 73, Sembawang  selepas mayat seorang amahIndonesia ditemui dalam sebuah tangki air  kelmarin.   | 
SINGAPURA - Penduduk di beberapa buah flat di Woodlands tidak  menyedari bahawa mereka menggunakan air termasuk untuk memasak adalah  daripada sebuah tangki air yang mengandungi mayat reput seorang pembantu  rumah warga Indonesia yang mati, lapor akhbar Straits Times semalam.
Mereka hanya mengetahui tangki air itu mengandungi mayat wanita  tersebut selepas membuat aduan kerana air paip kelihatan berwarna  kekuningan dan agak berbuih.
Empat penduduk flat itu di Blok 686B, Woodlands Drive 73, menghubungi Majlis Perbandaran Sembawang untuk membuat aduan tersebut.
Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita Associated French  Press, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun telah ditangkap  berhubung kematian pembantu rumah tersebut yang berusia 30 tahun.
Mayat wanita itu ditemui di dalam salah satu daripada lapan tangki  air di atas bumbung flat setinggi 15 tingkat itu kelmarin selepas polis  menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat dipercayai rakan  lelaki Bangladesh tersebut.
"Kejadian ini amat menjijikkan. Semua keluarga saya memakan habis  seperiuk sup kacang hijau yang dimasak pada pagi ini," kata seorang  penduduk flat tersebut, Choi Ah Moi.
Seorang suri rumah berusia 33 tahun, Ally Lee pula berkata, pembantu  rumahnya memasak mi sup untuk anak perempuannya dengan menggunakan air  mayat tersebut. "Saya fikir saya mahu membawa anak perempuan saya  berjumpa dengan doktor," katanya. 
Pembantu rumah itu bekerja di sebuah flat di tingkat enam dan semasa  ditemui mayatnya tersebut didapati mengalami luka di belakang badan  selain memakai baju-T dan seluar bermuda.
Pengurus Besar Majlis Perbandaran Sembawang, Soon Min Sin berkata,  semua air di lapan tangki itu dibuang dan dibasuh dengan menggunakan  bahan pembersih kuman.- Agensi


