GAMBAR yang disiarkan semalam  menunjukkan bangunan reaktor No. 3 yang mengalami kerosakan di loji jana  kuasa nuklear Fukushima Daiichi. 
TOKYO - Salah satu reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima  Daiichi, timur laut Jepun didapati mengalami kerosakan yang lebih teruk  daripada jangkaan, kata beberapa pegawai kelmarin. 
Kerosakan itu memberi tamparan hebat ke atas usaha untuk menstabilkan  semula loji jana kuasa tersebut yang rosak selepas dilanda tsunami pada  bulan lalu ekoran gempa bumi kuat.
Bagaimanapun, suhu di loji jana kuasa itu masih di bawah peringkat  berbahaya kerana pihak pengendali, Tokyo Electric Power Co., masih  berterusan mencurahkan air untuk memastikan batang bahan bakar sentiasa  sejuk.
"Situasi masih tidak berubah sejak krisis berlaku dan batang bahan  bakar disejukkan dengan menggunakan air secara berterusan," kata seorang  pegawai nuklear, Takashi Sakurai.
Sementara itu, kerajaan Jepun semalam memutuskan untuk menubuhkan  dana bagi membantu pembayaran ganti rugi ekoran krisis nuklear tersebut.
Syarikat pengendali loji tersebut dijangka menerima tuntutan ganti  rugi daripada pihak yang terkena kebocoran radiasi selepas berlaku  kerosakan di loji nuklear itu. - Agensi 




