Angel Wing Heart

18 March 2011

Kubur Pencakar Langit !





TANAH perkuburan Islam, Hindu dan Kristian di satu tempat? Ia mungkin tidak terjangkau dengan akal fikiran tetapi dengan wujudnya Menara Moksha di tengah bandar raya Mumbai, India, membuktikan apa saja boleh dibuat atas nama ‘keperluan semasa’ biarpun pasti mengundang kontroversi.

Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini. Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati. Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama.

Bagi kebanyakan kita, idea pembangunan seperti Menara Moksha itu mungkin tidak masuk akal, tetapi disifatkan praktikal bagi perancangnya. Alasannya – masalah kesesakan penduduk dan kekurangan tanah memaksa kerajaan India perlu memikirkan strategi bagi mengatasi masalah kronik kekurangan kawasan tanah perkuburan. Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia.
Semakin padat penduduk, kian ramai pula yang meninggal dunia. Tidak hairanlah, idea mewujudkan Menara Maut ini menarik perhatian ramai walaupun pembinaannya belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan.
Namun idea serta konsep kubur mega itu sudah mendapat perhatian ramai. Apatah lagi projek Menara Moksha itu dikemukakan pihak Council on Tall Buildings and Urban Habitat – satu pertubuhan antarabangsa berpejabat di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa bagi pembangunan bangunan tinggi, termasuk mengeluarkan senarai bangunan tertinggi dunia.




Biarpun mengenengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus).


Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar.

Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung.



Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan

Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu.
Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran.
Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan.
Menara berkenaan digambarkan sebagai menegak untuk menguruskan mayat yang menyediakan tempat untuk tempoh waktu lima hingga 10 tahun bagi memastikan kemampuan bangunan berkenaan digunakan untuk tempoh panjang.
Walau apapun, perancangan meletakkan tanah perkuburan pelbagai penganut agama mungkin relevan pada sesetengah pihak tetapi masih ada baik buruknya di sisi agama itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah golongan, ia melambangkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kepercayaan tetapi agama sendiri sudah pun menetapkan sempadan sejauh mana untuk kita saling bercampur.
Apa yang pasti menempatkan mayat pelbagai agama di satu tempat walaupun terasing dengan lingkungan tembok dan sebagainya bukanlah sesuatu yang boleh dikaitkan sebagai konsep toleransi bagi satu-satu pegangan.
Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan.
Oleh Hazirah Che Sab – Berita Harian


P/S : ADAKAH MALAYSIA AKAN BUAT PERANCANGAN SEPERTI KUBUR PENCAKAR LANGIT INI JIKA PENDUDUK SUDAH PADAT?


2 comments :

  1. tanx wani ats info nih..cube kaji ape kata islam pulak..trtnya2 gk boleyh ke islam wt cmni??pe hukumnya plak..??

    ReplyDelete
  2. wlcm...wallhualam..yg tu cek tak tau hukum jadi apa..tp ni perancangan buat..xtau la jadi ke tak..disebabkan ramai sgt pnduduknya

    ReplyDelete

Terima Kasih sudi membaca entri ini =)

 

Copyright 2016 © Syazwani Mazlan. Design by Ayu Barbydol